11 August 2010

1 Ramadhan atau 1 Ogos?


Melihat kalendar Islam bertarikh 29 Syaa'ban 1431 H bermakna seluruh umat Islam sedang menanti saat-saat akhir untuk memasuki 1 Ramadhan, iaitu bulan mulia yang telah dijanjikan Allah kepada umatnya untuk dihadiahkan Malam Lailaturqadar di akhir bulan tersebut. Rasulullah s.a.w telah bersabda ketika menjelang Ramadhan bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”  
(Hadith riwayat Ahmad dan An-Nasai)

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini saya melihat tumpuan bagi menyambut bulan kemerdekaan lebih gah daripada persediaan menyambut bulan Ramadhan. Kebanyakan masyarakat tidak sabar meraikan kedatangan 1 Ogos 2010 berbanding 1 Ramadhan 1431 H. Melihat media massa yang 'sibuk' mempromosi sambutan bulan kemerdekaan seperti yang tertulis dalam salah satu artikel yang ditulis, dimana ia sangat 'menghargai' kedatangan bulan kemerdekaan. Iklan-iklan di televisyen juga tidak lupa memainkan peranan bagi menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia bagi menyambut kedatangan bulan kemerdekaan.

Anak-anak muda pula mula bersiul-siul lagu 31 Ogos nyanyian arwahyarham Sudirman Haji Arsyad. Semangat menyambut kemerdekaan ini telah diraikan lagi apabila pada tarikh 1 Ogos 2010 lepas telah dilancarkan Bulan Sambutan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan di Stadium Utama Kangar Perlis [lihat artikel]. Kempen ini juga diadakan di peringkat negeri malah terdapat beberapa daerah dan institusi pengajian tertentu yang turut sama melancarkan perayaan dan kempen tersebut. Jalur Gemilang mula dipasang dan dikibarkan dengan bangganya. Malah terdapat majlis-majlis keraian tertentu seperti Konsert Kemerdekaan, Majlis Puisi Kemerdekaan, Pertandingan Jalur Gemilang, Malam Penghayatan Kemerdekaan dan lain-lain lagi yang bukan sahaja memerlukan kos yang mahal malah memerlukan komitmen yang tinggi dari seluruh rakyat Malaysia.


Penghayatan kemerdekaan juga seringkali dilaungkan. Agar tidak melupai segala pengorbanan para wira terhadap tanah air sekaligus membina semangat jati diri. Saya terpanggil untuk melihat pandangan yang dinyatakan oleh Noor Muhamad Shakil Hameed daripada UPM Serdang mengenai kepentingan penghayatan kemerdekaan :

Dua perkara yang sering menjadi persoalan utama adalah keikhlasan dan penghayatan kita menyambut sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan setiap tahun bagi memperingati detik bersejarah negara ini yang dilakar hasil pengorbanan wira negara. Ini kerana keikhlasan kita dalam memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan boleh dilihat sebagai hadiah terbaik kepada semua pejuang kemerdekaan tanah air. Penulis berpendapat, salah satu cara untuk kita menunjukkan tanda penghargaan dan membuktikan bahawa kita menghargai nilai kemerdekaan yang diwariskan kepada kita adalah dengan menzahirkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang dengan penuh ikhlas serta penghayatan yang mendalam. Mungkin tidak keterlaluan kerana penulis ingin mencadangkan agar bulan Ogos diisytihar sebagai bulan mulia untuk seluruh warganegara Malaysia, sama seperti bulan Ramadan untuk umat Islam di seluruh dunia. Bukan niat penulis untuk menyamakan kesucian dan kelebihan bulan Ramadan dengan bulan lain tetapi tidak salah untuk kita menjadikan bulan Ogos sebagai bulan yang sangat bermakna kepada kita.

Menerusi pandangan diatas menunjukkan bahawa perlu jelas secara fizikal semangat cintakan negara dengan menyambut secara besar-besaran Bulan Kemerdekaan. Ia dapat dibuktikan melalui kesungguhan dan keikhlasan seluruh rakyat Malaysia dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menaikkan semangat cintakan negara. Tidak dinafikan ia juga merupakan satu tuntutan dalam Islam. Rasulullah s.a.w. sendiri adalah orang yang cintakan bangsa dan tanah airnya, sebagaimana baginda menyeru umat Islam supaya mencintai kedua-duanya seperti dalam hadithBaginda mafhumnya:

“Cintakan tanah air itu sebahagian daripada iman.”
(Riwayat Bukhari Muslim)

Mengingati dan menghargai pengorbanan pahlawan negara yang telah terkorban demi tanah air adalah satu tangunggajwab yang mulia. Namun, dalam situasi sekarang usah kita lupa bahawa tuntutan Allah dan seruan Rasulullah terhadap bulan Ramadhan melebihi bulan-bulan yang lain. Seringkali kita terlupa apabila berlebihan meraikan sesuatu pekara sehingga melupakan perkara lain yang lebih fardhu dan penting disisi Allah dan Rasul. Kebimbangan 'berlebihan' ini akan mengundang kemaksiatan  dan melalaikan diri daripada mengingati Allah sekaligus pasti ia mengundang kepada kerugian. Seperti Firman Allah yang bermaksud :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. (Surah al-‘Asr: 1-3)

Pada tanggal 17 Ramadhan 2 H telah terjadi Peperangan Badar yang hanya terdiri daripada 313 orang tentera muslimin tetapi berjaya mengalahkan 1000 tentera kaum musyrikin Makkah. Kehebatan tentera Muslimin yang dinaungi oleh bantuan Allah ini sepatutnya dimuhasabah bersama. Kemenangan tentera Islam pada waktu itu menyebabkan tertegaknya syiar Islam yang kita lihat hingga saat ini. Lebih-lebih lagi ia berlaku ketika bulan yang mulia, iaitu Bulan Ramadhan. Maka, bulan mana yang paling mulia dan perlu ditingkatkan penekanan dan kesedarannya? 

Negara mengikut padangan Islam bertanggungjawab memelihara agama Allah dan peraturannya. Generasi muda hari ini rata-rata tidak memahami erti Islam dan hakikat yang sebenarnya. Mereka memahami mengikut selera masing-masing. Kefahaman seorang Islam itu dengan Islam yang lain saling berbeza (Ramli  Awang, 1997: 2). Maka kesannya kita boleh lihat pada hari ini. Apabila tiba 1 Ramadhan, masing-masing baru sibuk mencari kurma atau meninjau-ninjau masjid mana yang paling pendek bacaan dalam solat Terawihnya. Sedangkan Allah telah memberi peringatan dan meminta umatnya membuat 'persediaan atau persiapan' menyambut bulan Ramadhan lebih awal. Persediaan tersebut bukan beerti sibuk membeli baju baru, telekung baru, menyediakan stok makanan, makan sepuas-puasnya sebelum tiba Ramadhan dan lain-lain lagi. Persediaan di sini bermaksud latihan spiritual melalui amal ibadat. Agar apabila tiba bulan Ramadhan kelak, kita dapat menjalankan ibadat dengan berlipat kali ganda dan memperoleh ganjaran pahala yang lebih tinggi berbanding dengan bulan-bulan lain. 

'Sambutan' Ramadhan ini juga sepatutnya bermula sedari bulan Rejab. Abu Hurairah berkata Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

"Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadhan itu bulan umatku." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Penjelasan berkaitan tiga bulan yang berturut-turut itu, ada pihak membuat perumpamaan tahun dengan pohon, iaitu Rejab umpama waktu keluarnya daun, Syaaban diumpamakan keluarnya bunga dan Ramadhan umpama buahnya. Kedatangan Ramadhan sebenarnya perlu disambut dengan dilakukan pelbagai persediaan sedari bulan Rejab lagi. Allah dan Rasul memberi khabar gembira kepada seluruh umatnya akan kedatangan bulan Ramadhan sejak awal lagi bagi meningkatkan amalan dan ketaqwaan disamping melatih diri untuk menghadapi bulan Ramadhan yang sudah pasti terdapat pelbagai ujian di dalamnya. Semakin tinggi ujian maka semakin hebat pergantungan dan tahap keimanannya pada Allah s.w.t. Maka, bukan mudah bagi Allah untuk menghadiahkan begitu sahaja bulan Ramadhan yang terdapat padanya sejuta rahmat kepada umatNya. Sebagai hamba perlu bagi kita melakukan segala macam persediaan ibadat sejak dari bulan Rejab lagi. Persediaan spiritual, mental dan fizikal yang perlu diasah dan ditajamkan bagi membuktikan betapa gembiranya kita untuk menyambut bulan Ramadhan. Itu belum lagi kita menyusuri bagaimana kehebatan Rasulullah dan para sahabat yang sangat hebat amal ibadatnya sejak dari bulan Rejab sehingga menempuh bulan Ramadhan dan akhirnya terasa kemanisan Lailatuqadar seperti yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang terpilih.

Malangnya hari ini, kita terlalu teruja dengan 1 Ogos kerana tidak sabar menunggu diakhir bulan bagi menyambut tarikh keramat 31 Ogos Hari Kemerdekaan, sehingga terlupa bagi menyambut 1 Ramadhan yang terdapat padanya Malam Lailaturqadar pada 10 malam terakhir. Ayuh berpesta mengihya'kan Ramadhan, pasti ada keberkatan dan kerahmatan pada sekelian alam. Penghayatan bukan sahaja berlaku sepanjang tempoh bulan kemerdekaan negara tetapi penghayatan itu perlu lebih-lebih lagi terhadap bulan Ramadhan. Media Massa perlu bijak mengambil tanggungjawab ini bagi menyebarkan kedatangan bulan Ramadhan dengan memaparkan keindahan dan keberkatan sepanjang bulan Ramadhan. Selain itu kempen-kempen dan majlis-majlis tertentu seperti Pelancaran Ihya' Ramadhan, Jom Sedeqah, Kempen Qiam 10 Malam Terakhir Ramadhan dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya di seluruh negara wajar digahkan. Maka selarilah dengan seruan Allah dan Rasul supaya sentiasa mengambil peluang meningkatkan amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan. Jika keadaan ini dilakukan, mudah-mudahan negara dapat melahirkan anak muda yang cintakan bulan Ramadhan seperti mereka cintakan Bulan Kemerdekaan.  

Sambutlah 31 Ogos sebagai tanda cintakan tanah air tetapi usah lupa cinta dan kasih sayang al-Khaliq pada hambaNya apabila dihadiahkan Bulan Ramadhan, bulan penuh maghfirah dan keberkatan.

Bibliografi

Al Quran dan As Sunnah

Ramli Awang (1997). Tasawwur Rabbani Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah: Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher.

No comments:

Post a Comment