02 September 2010

Pemerkasaan Wanita dalam Pembangunan Islam


“dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana."                                                                                                          (At Taubah 9:71)

Allah telah menciptakan makhluk di atas muka bumi ini secara seimbang. Fitrah telah Allah jadikan bumi pasangannya langit, siang pasanganya malam, laut pasangannya darat, matahari pasangannya bulan, cantik pasangannya buruk, miskin pasangannya kaya dan lain-lain lagi. Begitu juga telah Allah ciptakan lelaki dan perempuan sebagai pelaku paling penting di atas bumi bagi mentadbir serta menguruskan bumi sebaik mungkin. Seperti firman Allah yang bermaksud :

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan mendapat siksa dari kejahatan yang dikerjakannya.”                                                (Al Baqarah 2:286)
     
Tidak dapat dinafikan lagi wanita sebenarnya merupakan sebahagian daripada penggerak ummah yang turut sama bertanggungjawab memakmurkan seluruh masyarakat supaya seiring dengan apa yang dituntut oleh Allah dan RasulNya. Tanggungjawab yang dibebankan ini adalah layak dan sesuai dengan fitrah wanita yang diciptakan lembut dan rapuh bak tulang rusuk iaitu asal kejadian wanita itu sendiri. Kehebatan wanita Islam dapat dilihat dari sudut sirah apabila kisah Ratu Balqis serta kerajaannya telah Allah kisahkan di dalam Al-Quran sebagai contoh dan teladan. Tidak ada sesiapa yang menafikan kehebatan sumbangan Saidatina Khadijah sebagai wanita pertama yang telah bersama-sama Rasulullah mengharungi susah dan senang pada peringkat Islam mula disebarkan di Makkah dulu. Begitu juga peranan Saidatina Aisyah, Asma Abu Bakar, Rabiatul Adawiyah, Ummu Sulaim, Ummu Salamah dan lain-lain lagi yang terlibat secara langsung atau tidak dalam usaha menegakkan syiar Islam.

Kesannya hingga hari ini, peranan wanita dalam membantu pembangunan masyarakat dapat dilihat meningkat dari semasa ke semasa. Tidak kira sama penglibatan wanita ini adalah disebabkan kesedaran, tuntutan semasa, desakan keluarga, pengaruh masyarakat sekeliling, dasar kerajaan serta lain-lain lagi yang menjadi faktor kearah peningkatan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang dalam realiti masyarakat kini. Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Norhuriyatina Salleh yang bertajuk ‘Wanita Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ telah meghuraikan betapa hebtanya pembabitan wanita dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain lagi.  Pengiktirafan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara, Datuk Sri Norma Yaacob sebagai Hakim Besar Malaya, Ketua Pengarah Arkib Negara iaitu Datuk Rahani Jamil, Pengarah Agensi Angkasa Negara iaitu Datuk Mazlan Othman dan Ramai lagi. Tahun 2009 pula melihat Senator Datuk Armani Mahiruddin mendapat kepercayaan ramai hingga melayakkan beliau berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ke-11. Manakala Kongres Jenama Dunia 2009 telah memberikan Anugerah Kepimpinan Jenama kepada Presiden Institut Pemasaran Malaysia (IMM), Datuk Sharifah Mohd. Ismail di Mumbai November lepas.
Senator Datuk Armani Mahiruddin
Penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah amat penting berasaskan kepada tugas dan tanggungjawab  malah merupakan satu usaha positif untuk mencapai tahap yang lebih tinggi  berdasrkan kepada konsep pembangunan bersepadu iaitu dari aspek fizikal, mental dan spiritual standing dengan kaum lelaki. Pihak kerajaan telah membuat pelbagai dasar bagi membantu kearah pemerkasaan kaum wanita di Malaysia seperti Dasar Wanita Negara 2009, HAWA (Unit Hal Ehwal Wanita), PTPW (Pelan Tindakan Pembangunan Wanita) dan lain-lain lagi yang turut sama mendapat sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan.

Namun begitu, pemerkasaan wanita ini harus selari dengan konsep pembangunan Islam. Pemerkasaan wanita adalah satu usaha murni bagi membantu kaum wanita yang dianggap ‘lemah’ bagi memajukan diri, keluarga dan masyarakat. Islam menganggap penglibatan kaum wanita dalam masyarakat juga merupakan satu ibadah selagi ia dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam. Berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“ Barangsiapa yang menegerjakan amal-amal salih, baik lelaki atau perempuan sedang ia orang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga  dan mereka tidak dianiya sedikitpun.”                                                                                                               (An Nisa 4:24)               
                                                                                  
Manakala menurut Muhammad Syukri Salleh menerusi bukunya yang bertajuk Tujuh Prinsip berteraskan Islam menyatakan :
Status manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Allah ini membuatkan pelaku pembangunan berteraskan Islam mempunyai falsafah dan fungsi yang berbeza dengan pembangunan lazim. Sebagai hamba Allah s.w.t, mereka terlibat dengan aktiviti pembangunan sebagai salah satu cara mengabdikan diri, atau beribadah kepada Allah s.w.t. Sebagai Khalifah Allah s.w.t pula, mereka berinteraksi sesama manusia dan sumber alam dengan penuh rasa tanggungjawab, amanah, berakhlak dan penuh etika, sesuai dengan peranan mereka sebagai khalifah Allah s.w.t itu. 

Oleh kerana kehidupan masa kini lebih hebat cabarannya dari semasa ke semasa, maka pemerkasaan wanita dalm pembangunan Islam perlu dipandang dengan lebih serius. Ini kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :
"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudharat kepada lelaki selain wanita" (Hadis riwayat Bukhari).

Manakala hadis lain yang bermaksud:
“Takutlah (berhati-hatilah) kalian dengan dunia dan takutlah kalian terhadap fitnah wanita, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa bani Israil adalah dalam urusan wanita.” (Hadis Riwayat Muslim)

Fitnah yang disebabkan oleh wanita ini terjadi daripada beberapa pekara seperti aurat wanita sama ada suara, pakaian, pergaulan atau pergerakan wanita itu sendiri. Sekiranya tersilap langkah pasti mendatangkan fitnah yang sangat besar. Perlu dijaga maruah dan aib wanita kerana mereka merupa insan yang sangat mulia disisi Islam. Wanita sebagai isteri, ibu, anak, saudara, rakan dan lain-lain lagi yang keluar bekerja perlu diberi hak-hak seperti yang dibenarkan dalam syarak. Seperti hak dalam amalan kerohanian, hak dalam ekonomi, hak dalam pendidikan, hak dalam sivil, hak dalam berpolitik, hak dalam bersosial dan lain-lain lagi.

Selain itu wanita Islam juga harus diberi penjelasan mengenai had dan batasan mereka apabila dalam atau di luar rumah, lebih-lebih lagi sebagai ahli masyarakat. Seperti menjaga ikhtilat, pakaian, tanggungjawab sebagai isteri yang diberi keutamaan setelah berkahwin, menjaga maruah keluarga serta lain-lain lagi. Sebagai wanita Islam yang keluar untuk bekerja perlu bertindak dan berfikir selaras dengan syara’. Ini kerana kewajipan utama manusia di dalam dunia ialah untuk mematuhi segala perintah Allah. Melaksanakan segala kehendak yang terkandung dalam kitan Al-Quran dan As Sunnah adalah demi kesejahteraan  dan kebahagiaan manusia sehingga akhirat (Prof. Dr. Haron Din, 1992 : 77). Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“ dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Aku.”
  (Az Zariyat : 59) 

Oleh itu jelaslah bahawa pemerkasaan wanita dalam aspek pembagunan Islam sebenarnya adalah langkah terbaik bagi menjaga seluruh kehidupan wanita tersebut. Pihak kerajaan atau majikan-majikan harus mengambil kira kepentingan wanita yang bukan sahaja sebagai pekerja atau pelaku pembangunan semata-mata namun sebenarnya wanita juga berperanan membentuk sebuah keluarga sekaligus menjadi pendidik utama kepada anak-anak yang bakal mencorak dan memimpin dunia. Wanita yang menghayun buaian juga boleh menggegarkan dunia. Namun ia lebih hebat sekiranya pemerkasaan wanita ini dipandang serius dan dipelihara demi menjamin kelangsungan pembangunan masyarakat hari ini.



Bibliografi

Al Quran dan As Sunnah

Muhammad Syukri Salleh (2003), 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam : Kuala Lumpur : Zebra Edition Sdn Bhd

Norhuriyatina Salleh (2006). Wanita Cemerlang, Gemilang, dan Terbilang. Diakses dari          http://www.yadim.com.my/Wanita/WanitaFull.asp?offset=15&Id=135 pada 26 Ogos 2010

Prof. Dr. Haron Din (1992), Tasawwur Islam : Shah Alam : Penerbitan HIZBIR

No comments:

Post a Comment