20 August 2010

Merelevankan 'Jaga Tepi Kain Orang'


Sebagai generasi muda yang hidup dalam dunia yang semakin mencabar dan dipenuhi berjuta jenis manusia yang punya ragamnya sendiri, terasa dunia semakin mengecil. Manusia kini sibuk mengejar matlamat masing-masing. Dek kesibukkan ini, secara tidak langsung ia menghakis perhubungan harmoni sesama manusia. Teringat kata-kata ibu di kampung, manusia sekarang mula mementingkan diri sendiri, semakin maju maka semakin renggang hubungan kejiranan tersebut. Mujur di kampung ini masih seperti dulu. Walaupun kampung ini jauh dari bandar, namun hubungan kejiranan masih lagi erat. Tidak ada istilah 'usah menjaga tepi kain orang'. Bagaimana ingin hidup jika tidak ada pergantungan sesama jiran tetangga. Bagaimana ingin melahirkan rasa bertanggungjawab sekiranya jiran sebelah tidak pernah disapa?Apatah lagi ingin bercerita panjang. 

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan yang diberikan Abu Bakar bin Yang, Fellow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengenai isu ini [sila rujuk artikel]. Beliau menyatakan dengan sikap 'tidak menjaga tepi kain orang' yang telah menular jauh ke dalam masyarakat menyebabkan pelbagai isu sosial telah muncul dan ia mula merebak dan menjadi barah dalam masyarakat itu sendiri. Robohnya institusi kejiranan dan lemahnya institusi kekeluargaan ekoran prinsip diatas menyebabkan telah hilang rasa bertanggungjawab. Kesan ketara boleh dibuktikan apabila muncul masalah seperti kes-kes buang bayi, penderaan dan penculikan terhadap kanak-kanak yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Oleh itu jelaslah menerusi artikel tersebut, sikap 'tidak menjaga tepi kain orang' turut sama menjadi faktor utama kepada peningkatan masalah sosial negara.

Islam amat mementingkan hubungan erat sesama masyarakat. Kejayaan sesebuah ummah bergantung kepada rasa kasih sayang. Seperti  sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya." (Hadis Riwayat Muslim)

Manakala tuntutan Rasulullah s.a.w supaya menjaga dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran dapat dilihat daripada hadis berikut:

"Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku'. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).



Hadith Rasulullah di atas menerangkan bahawa institusi kejiranan juga wajib dipelihara. Institusi kejiranan yang utuh akan membawa kepada keamanan, keselesaan, keselamatan, ketenangan dan dapat keluar daripada banyak masalah. Islam menggalakkan kita berbuat baik sesama sendiri seperti firama Allah s.w.t yang bermaksud : 


'..dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki'. 
(An-Nisaa’ : 36)

Justeru itu, amalan 'menjaga tepi kain orang' ini sebenarnya merupakan salah satu cara bagi mengikat hubungan sesama masyarakat. Saling bertanya khabar, berkongsi pandangan, menjaga maruah dan aib jiran, membantu keluarga jiran sekiranya berlaku masalah, membantu mengatasi sosial kejiranan dan lain-lain lagi yang sebenarnya ia membuka peluang dan ruang untuk saling mengenali dan mengikat tali silaturahim. Selain itu, perbezaan budaya, agama, bangsa, keturunan, adat resam, pendidikan, pekerjaan atau taraf hidup pasti dapat dikurangkan jurangnya.  Saya pasti akan bercambah rasa kasih sayang lebih-lebih lagi kepada saudara seaqidah. Semakin ramai jiran yang dikenali maka semakin besar ukhuwah yang telah dijalinkan. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud: 

Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali'.
(Al-Hujurat : 13)

'Jaga tepi kain orang' juga akan melahirkan rasa bertanggungjawab dan sensativiti individu terhadap masyarakat sekeliling. Negara pernah digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang telah didera dan dibunuh oleh teman lelaki ibunya. Menurut laporan, selama beberapa minggu jiran tetangga mendengar tangisan yang sangat pelik daripada rumah ibu kanak-kanak malang itu. Namun, tidak menyangka bahawa telah terjadi satu penderaan dan akhirnya pembunuhan ke atas kanak-kanak tersebut. Kes tersebut menjadi salah satu bukti telah berkurangnya sensitiviti jiran tertangga. Mengapa jiran-jiran tersebut tidak cuba menyiasat atau mengambil tindakan sejak awal? Mengapa rasa hairan itu tidak disusuli dengan usaha untuk mendapat jawapan sekaligus dapat membantu kanak-kanak tersebut? 

Budaya bantu membantu yang lahir dari sikap 'menjaga tepi kain orang' adalah sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah swt yang bermaksud:


'Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran'. 
(Al-Maidah : 2)



Oleh itu ia sepatutnya tidak menjadi bahan kepada masyarakat untuk terus mejauhkan diri antara satu sama lain walaupun hanya dipisahkan dengan sebuah pagar. Malah terdapat istilah 'jaga tepi kain sendiri' yang terus melahirkan perasaan pentingkan diri sendiri serta sikap individualistik. Ia juga menjadi hujah agar masyarakat luar tidak mengambil tahu dan tidak masuk campur apa jua hal yang terjadi.  Sehingga aktiviti kemasyarakatan juga mereka lebih gemar membuat tempahan perkhidmatan yang berbayar. Seperti persiapan majlis perkahwinan, membaiki rumah yang rosak, pendidikan anak-anak setempat dan lain-lain lagi. Semuanya lebih mudah dengan hanya mengeluarkan duit. Padahal perkhidmatan percuma yang terdiri daripada komuniti jiran tersebut lebih bernilai dan tidak ada bandingnya. [lihat artikel]



Islam tidak menolak kemajuan dan kemodenan. Namun begitu usah jadikan kemajuan ini menjauhkan lagi hubungan sesama masyarakat. Kemajuan sepatutnya menjadikan manusia lebih menghargai manusia yang berada disekelilingya. Istilah menghargai inilah yang akan melahirkan rasa ingin tolong menolong, mengambil berat atau dengan kata lain 'jaga tepi kain orang'. Islam juga mengajar manusia supaya berakhlak dalam menjaga perkara-perkara melibatkan 'kain orang'. Seperti masalah dalaman rumahtangga jiran atau teman, tidak mengaibkan, tidak menimbulkan fitnah dan berburuk sangka, tidak menwujudkan pepecahan masyarakat dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Sekiranya muslim itu mengikut etika seperti yang dituntut oleh agama, pasti mengwujudkan sebuah masyarakat harmoni dan selamat. Ia menunjukkan betapa universalnya Islam dalam menjaga hubungan sesama manusia tidak mengira seagama atau tidak.

No comments:

Post a Comment