01 October 2010

CIRI-CIRI TASAWUR ISLAM : AL-WASATIYYAH DAN AL-TAWAZUN





Islam sebagai agama Allah s.w.t mempunyai ciri-ciri yang unggul yang tidak terdapat pada agama ciptaan manusia (Mohd Asri Abdullah et al, 2007 : 37). Ia jelas terbukti apabila Islam telah merentasi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa mengenepikan sedikitpun aspek kejadian dan seluruh kehidupan makhluk ciptaanNya. Islam itu sendiri bererti tunduk dan menyerah diri kepada Allah s.w.t. Ketaatan kepada Allah s.w.t adalah dari kesedaran tanpa dipaksa. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah s.w.t padahal kepada-Nya menyerah diri segala apa yang ada di langit dan bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan”. (Ali Imran, 3: 83)

Rasa tunduk dan patuh tersebut diperjelaskan lagi melalui konsep tasawwur Islam. Setiap hamba yang beriman wajib berfikir, menganalisis, mengenal pasti, bertindak, bergerak, membuat keputusan dan lain-lain lagi berdasarkan tasawwur Islam. Tasawwur bermaksud gambaran rupa bentuk sesuatu. Apabila perkataan tasawwur digabungkan dengan perkataan Islam menjadi tasawwur Islam, maka ia bererti gambaran bentuk rupa Islam hakiki (Haron Din, 1992: 3). Ia juga menggambarkan dan seterusnya menghayati Islam sebagai agama Rabbani yang menyeluruh. Ia diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi s.a.w melalui Malaikat Jibril a.s tanpa sebarang perubahan. Meletakkan Islam dalam tasawwurnya yang sebenar bermakna menjadikan Islam sahaja sebagai satu-satunya manhaj (sistem) kehidupan yang memerdekakan manusia daripada mengabdikan kepada sesama manusia (Ramli Awang, 1997: 6).   

Di antara ciri-ciri yang dibawa oleh tasawwur Islam ialah al-Wasatiyyah dan al-Tawazun. Namun begitu terdapat dua penjelasan mengenai kedua-dua ciri ini. Pertama, penulis yang membezakan konsep kedua-dua ciri tasawwur tersebut dan kedua terdapat juga penulis lain yang mengatakan al-Wasatiyyah dan al-Tawazun ini adalah sama. Penulis yang membezakan antara ciri al-Wasatiyyah dan al-Tawazun ialah Ghazali Basri (2008: 155). Menurut beliau, al-Wasatiyyah berasal daripada perkataan wasata yang bermaksud pendekatan jalan tengah. Seperti Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:
“ Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammmad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”.  (al-Baqarah, 2 : 143)

Ummatan wasata di dalam ayat di atas telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu umat yang adil, tidak berat sebelah hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupannya. Ia menggambarkan umat Islam yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia. Manakala al-Tawazun bermaksud keseimbangan. Istilah al-Tawazun mempunyai sedikit persamaan dengan konsep al-Wasatiyyah kerana kedua-duanya mempunyai elemen keseimbangan, tetapi yang membezakan ialah al-Wasatiyyah lebih bersifat cara atau pendekatan sebagai alternatif, sedangkan al-Tawazun adalah sesuatu keadaan yang dilahirkan dalam keadaan keseimbangan (Ghazali Basri, 156:2008).

Namun begitu, konsep al-Tawazun ini dilihat sama dengan konsep al- Wasatiyyah melalui pandangan beberapa penulis yang lain. Seperti menurut Yusuf al-Qardhawi (2000, 271). Al-Wasatiyyah (keserdehanaan) dan al-Tawazun (keseimbangan) merujuk kepada mengambil sesuatu keputusan atau tindakan secara di tengah-tengah di antara dua aspek tanpa ada pengaruh atau kecenderungan kepada mana-mana aspek tersebut di samping tidak melanggar hak aspek yang bertentangan dengannya. Sebagai contoh aspek-aspek yang bertentangan ialah rabbaniyyah dan insaniyyah, kerohanian dan kebendaan, akhirat dan dunia, wahyu dan akal, masa lalu dan masa kini serta seumpama dengannya. Justeru, keseimbangan tersebut boleh dilihat apabila memberi kepada setiap aspek tersebut serta menyerahkan haknya dengan saksama dan al-Qistas al-Mustaqim (timbangan yang lurus), tanpa kurang dan lebih, tanpa melampaui batas dan kurang dari yang sewajarnya. Melihat kepada pandangan Yusuf al-Qardhawi (2000) yang lebih berautoriti serta pandangan penulis-penulis lain seperti Haron Din (1992: 116) dan Marwan al-Qadiry (1994: 20), maka kedua-dua ciri al-Wasatiyyah dan al-Tawazun dianggap sama dan ia digunakan dalam artikel ini.



Islam memandang manusia yang terdiri daripada kesatuan rohani, akal dan jasmani yang saling berkait-rapat. Jasad ada keperluannya dan roh pula ada tuntutannya. Kedua-dua keperluan tersebut diberi pertimbangan di dalam Islam (Haron Din, 1992: 116). Namun begitu, kejadian manusia ini tidak boleh dibandingkan dengan kehebatan Penciptanya. Dengan akal yang cetek, ilmu yang sedikit maka manusia dibekalkan oleh Allah s.w.t dengan manhaj Islam yang paling sempurna serta tidak dapat ditandingi dengan manhaj ciptaan manusia (Marwan al-Qadiry,1994:14). Manhaj Islam menuntut hamba-Nya supaya bersederhana dalam semua perkara dalam kehidupan. Menurut Yusuf al-Qardhawi (2000:272), terdapat beberapa aspek kesederhanaan dalam Islam seperti kesederhanaan dalam aspek ibadat serta syiarnya iaitu menyeimbangkan ibadat duniawi dengan ibadat ukhrawi. Bersederhana di dalam aspek akhlak seperti tidak selalu bersangka baik atau bersangka buruk dengan fitrah kemanusiaan. Selain itu Islam juga mengajar manusia supaya bersederhana di dalam perundangan, ia terbukti dengan lahirnya hukum-hukum Islam yang adil dan saksama kepada individu mahupun masyarakat. Kesederhanaan antara individu dan masyarakat boleh dilihat apabila ia mampu mewujudkan kesepaduan yang harmoni. Di dalamnya terdapat keseimbangan antara kebebasan individu dan kepentingan masyarakat, keserasian hak dan kewajipan serta pengagihan kekayaan dan tanggungjawab juga secara saksama.

Berdasarkan keseluruhan perbincangan di atas, didapati bahawa konsep al-Wasatiyyah dan at-Tawazun mempunyai kaitan dengan Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam (PBI). Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003: 86), PBI bukan sahaja meliputi pembangunan fizikal dan material semata-mata tetapi turut sama memberi penekanan kepada aspek rohani, seperti pengurusan hati, akal dan nafsu. PBI bukan sahaja menjamin keharmonian hubungan manusia sesama manusia tetapi ia juga sebenarnya mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Keseimbangan, kesederhanaan dan keadilan tasawwur Islam yang wujud menerusi PBI boleh dilihat apabila manusia itu mula sedar bahawa dia adalah khalifah yang diutuskan oleh Allah sebagai pentadbir di atas muka bumi. Sebagai pelaku pembangunan, manusia tidak boleh dianggap hanya sebagai manusia pengeluar atau pengguna yang mengambil kira hanya kekuatan fizikal, akal, kemahiran dan apa-apa sahaja berbentuk lahir. Tetapi ia juga melihat kepada tanggungjawab secara batin di antara hamba dengan Allah s.w.t yang menuntut pencapaian mardhatillah.

Seluruh ajaran Islam dan sistemnya ditegakkan atas dasar sepadu dan seimbang. Setiap satu bahagian dengan bahagian yang lain saling berkaitan. Oleh itu syariah Islam perlu diamalkan secara keseluruhannya oleh manusia (Mohd Asri Abdullah et al, 2007 : 38). Maka, dengan konsep al-Wasatiyyah dan al-Tawazun yang dibawa oleh Islam memberi pengertian bahawa Islam itu amat sesuai dan serasi dengan manusia sejagat. Oleh itu, manusia perlu mentadbir alam ini mengikut manhaj Islam seperti yang dituntut. Allah s.w.t amat mengetahui dengan keperluan manusia yang hakiki lalu menciptakan Islam untuk memenuhi keperluannya. Islam telah membawa pendekatan seimbang, sederhana dan keadilan dalam manhajnya bagi membantu manusia bukan sahaja bagai memperoleh kehidupan yang baik di atas muka bumi, tetapi ia juga bagi mencapai matlamat akhir iaitu redha Allah s.w.t serta syurga-Nya.




Bibliografi

Ghazali Basri (2008). Dinamika Tasawwur Islam Dalam Pembentukan Keperibadian Umat. Bandar Seri Begawan: Pusat Penerbitan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Haron Din (1992). Tasawwur Islam. Shah Alam: Hizbi Sdn Bhd.

Marwan al-Qadiry (1994). Keseimbangan Dalam Agama. Kuala Lumpur: Al Kautsar.

Mohd Asri Abdullah (2007). Prinsip-prinsip Asas Islam: Islam dan Akidah. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam.  Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn Bhd.

Ramli Awang (1997). Tasawwur Rabbani Menurut al-Qur’an dan al-Sunnah. Kuala Lumpur: al-Hidayah Publishers.

Yusuf al-Qardhawi (2000). Pengantar Pengetahuan Islam. terj. Mohammad Zaini Yahya. Kuala Lumpur: As-Syabab Media.



Shahirah binti Said
Pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
USM Pulau Pinang
Sesi 2010/2011

No comments:

Post a Comment

Post a Comment